PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir melibatkan enam negeri, pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 12 tengah hari.
Ia melibatkan keseluruhan kawasan di Perlis dan beberapa kawasan di Langkawi, Kedah serta Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Bagi Pulau Pinang, ribut petir diramalkan melanda Barat Daya dan Timur Laut manakala di Perak tertumpu di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Selain itu, di Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang,” katanya dalam hantaran sama.
Menurut MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.