fbpx

Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka – Ahmad Samsuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Samsuri.

PETALING JAYA – ‘Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi kerana dipilih dalam pilihan raya baru-baru ini’

Itulah respon Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kepada kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam berkenaan negeri yang diberi keutamaan dalam belanjawan Persekutuan tetapi tiada perancangan ekonomi baik.

Jelas Ahmad Samsuri, isu yang dibangkitkan oleh Rafizi adalah umpama ‘mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri atau disebut sebagai ‘shooting your own foot’.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah dari semua rakyat dan negeri.

“Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri-negeri ini.

“Semua bidang kuasa kerja kerajaan adalah termaktub dalam Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, dengan tiga kaedah pembahagian kuasa.

“Zaman dahulu, perkara ini adalah satu ilmu pelajaran Kertas Pengetahuan Am Tingkatan Enam. Tak perlu mengaji di Amerika atau Perancis untuk tahu perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, semua yang ada dalam senarai projek pembangunan di semua negeri adalah melalui proses bincang dan penilaian puluhan pakar, agensi dan kementerian sebelum menjadi senarai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang ada sekarang ini.

Ujarnya, pembangunan ekonomi menjadi tanggungjawab bersama kerana semua kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini bersama Kerajaan Negeri.

“Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor semua perkara ini, kerana pihak Menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian.

“Bukannya bincang tepi jalan, jadi kenapa negeri yang nak diperlekehkan? Politik lah tu. Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan negeri atau negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik.

“Lama kelamaan rakyat akan muak dan benci spesies ahli politik yang hanya mementingkan diri semata. Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa ‘superiority complex’,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata hubungan lebih harmoni patut dibina dengan duduk berbincang antara negeri-negeri atau Putrajaya kerana itulah sebabnya Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan diwujudkan.

Tegasnya, jika perkara itu pun tidak dapat dilaksanakan maka negara mustahil dapat bergerak kehadapan serta keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat juga gagal dicapai.

“Walau hebat macamana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah.

“Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka. Kalau apa yang saya nukilkan ini salah, mohon banyak kemaafan, saya hanya mahu kita semua bergerak pantas ke hadapan,” ujarnya.

Semalam, Rafizi berkata enam negeri iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah semenangnya mendapat peruntukan yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, ujar Rafizi, beberapa negeri tersebut dilihat mempunyai perancangan ekonomi yang lemah menyebabkan hubungan ‘satu hala’ sahaja antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI