KOTA KINABALU – Seorang lelaki bersama anaknya cedera ekoran dipukul sekumpulan lapan lelaki dalam kejadian di perkarangan bangunan Sabah Fish Marketing (SAFMA) kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, dua beranak berusia 22 dan 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di SAFMA awalnya menegur seorang lelaki yang juga salah seorang rakan kumpulan terbabit disebabkan cuba membawa bakul plastik dipercayai berisi ikan segar sehingga terjadi pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, namun
kejadian itu dapat diselesaikan secara baik.
“Bagaimanapun, sekitar pukul 3 petang hari sama, datang sekumpulan lapan lelaki dalam keadaan marah bertindak menyerang mangsa dua beranak itu.
“Kedua-duanya kemudiannya cuba melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek lalu bertindak memukul mangsa menggunakan objek seperti pisau, buku lima, rantai besi dan tali pinggang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Habibi berkata, akibat pergaduhan itu, lelaki berusia 41 tahun terbabit pengsan manakala anak lelakinya mengalami kecederaan.
Semua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) oleh majikannya untuk rawatan lanjut.
Mangsa cedera di kepala, bengkak di tangan dan luka serta hidung berdarah manakala anaknya bengkak dan luka di kepala.
“Beberapa suspek disyaki terbabit dalam kejadian itu ditahan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi individu disyaki terbabit dalam kejadian itu.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – K! ONLINE