fbpx

Vincent Tan, Berjaya Land dapat injuksi lanjutan halang Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sanusi dan Vincent Tan.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melanjutkan perintah injunksi yang diperoleh Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad terhadap samannya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Injunksi ex-parte (sebelah pihak) itu diperolehi Vincent Tan dan Berjaya pada 17 Ogos lalu, bagi menghalang Muhammad Sanusi daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka, dan ia tamat pada hari ini.

Saman fitnah yang difailkan kedua-dua plaintif itu terhadap Muhammad Sanusi (defendan) adalah berhubung kenyataaan yang didakwa memfitnah mereka dalam satu ucapan pada 2 Ogos lalu mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Sementara itu peguam Chuar Kia Lin yang mewakili Vincent Tan dan Berjaya Land ketika dihubungi media berkata, Mahkamah Tinggi sepatutnya mendengar permohonan injunksi secara inter-parte (dua belah pihak) hari ini, bagaimanapun peguam Muhammad Sanusi memaklumkan mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit dan hujahan bertulis.

Justeru Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Choong Yeow Choy menetapkan pendengaran injunksi inter-parte kepada 25 Oktober ini berikutan pihaknya (plaintif) tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Pada masa sama, mahkamah turut memberikan injunksi ad-interim (injunksi lanjutan sementara) kepada plaintif sementara injunksi inter-parte itu didengar dan diputuskan.

Sebelum ini, Vincent Tan dan Berjaya Land menyaman Muhammad Sanusi berhubung ucapannya pada ceramah sempena kempen pilihan raya ‘Jelajah Mega PN Best’ atau ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera mega tour’ di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent Tan berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif ia juga bermaksud mereka menyebabkan kerajaan negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Plaintif mendakwa, ia juga bermaksud mereka dengan syarikat berkaitan mempunyai jumlah hasil pendapatan gabungan sebanyak RM33.3 bilion.

Vincent Tan dan Berjaya Land berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Berjaya Land.

“Projek SMG membabitkan sebuah syarikat bertujuan khas, iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) menerusi usaha sama dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI).

“LLBSB bukan sahaja perlu membayar premium tanah bernilai RM113.1 juta bagi lot tanah itu tetapi juga mencari dana untuk membayar premium kepada kerajaan negeri Selangor,” kata plaintif.

Sehubungan itu Vincent dan Berjaya Land menuntut daripada Muhammad Sanusi, antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI