MADRID, Sepanyol – Polis dan kastam Sepanyol mengumumkan rampasan hampir 9.5 tan kokain dari Ecuador hari ini, menjadikannya rampasan dadah terbesar di Sepanyol.
Rampasan dibuat di pelabuhan Algeciras itu merupakan kargo kokain terbesar yang disembunyikan di Sepanyol sehingga kini, kata polis dan kastam dalam satu kenyataan bersama.
Semua dadah itu disembunyikan di dalam kotak-kotak berisi pisang dalam kontena hawa dingin, kata mereka.
“Operasi ini memberi tamparan hebat kepada salah satu organisasi jenayah terbesar di dunia dalam penyeludupan kokain,” kata mereka tanpa menyebut nama organisasi yang dimaksudkan.
Penerima dadah itu merupakan rangkaian-rangkaian penjenayah utama di Eropah.
Logo lebih 30 kumpulan penjenayah Eropah yang sepatutnya mengambil penghantaran dadah itu turut ditemui. – AFP