fbpx

Kepala berjahit diserang beruang matahari ketika kutip durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Al Amin Ratna Shariman yang cedera diserang haiwan buas di kebun durian bapanya di Kampung Lerek, Hulu Terengganu kelmarin.

HULU TERENGGANU – Ke­terujaan seorang remaja ketika ­mengutip durian di dusun ­bapanya bertukar tragedi ngeri apabila dia diserang seekor beruang matahari di Kampung Lerek di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa, Al Amin Ratna Shariman Alias, 18, cedera dan terpaksa menerima beberapa jahitan pada bahagian kepala akibat serangan haiwan buas berkenaan.

Abang mangsa, Aweh Zulkurnain, 22, berkata, sewaktu kejadian, Al Amin Ratna Shariman berseorangan di dalam dusun terbabit.

“Sewaktu adik saya (Al Amin Ratna Shariman) sedang mencari durian luruh tiba-tiba dia terserempak dengan seekor beruang matahari.

“Haiwan liar itu sedang enak makan durian. Adik saya yang panik terus melarikan diri dan cuba menyorok di sebalik sebatang pokok durian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun kata Aweh Zulkurnain haiwan buas tersebut tetap menyerang adiknya.

Tambahnya, dalam keadaan kelam-kabut tersebut, Al Amin Ratna Shariman sempat menghunus sebilah parang dibawanya ketika mengutip durian untuk mempertahankan diri.

“Beruang matahari kemudian melarikan diri sebelum adik saya keluar kebun dan menunggang motosikal dalam keadaan berlumuran darah menuju rumah sejauh kira-kira satu kilometer untuk meminta pertolongan.

“Dia kemudian dikejarkan oleh kami sekeluarga ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk menerima rawatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aweh Zulkurnain percaya serangan itu di­sebabkan beruang matahari tersebut terperanjat dengan kehadiran adiknya.

Jelasnya, sepanjang pengetahuannya, haiwan liar itu belum pernah menyerang mana-mana penduduk kampung sebelum ini.

“Apapun, kejadian menimpa adik saya membuatkan kami bimbang untuk ke dusun bagi memungut durian lebih-lebih ketika berseorangan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI