MENGHIAS sesebuah kediaman sememangnya satu proses yang mengambil masa panjang.
Konsep idaman yang mahu diterjemahkan juga perlu mengambil kira banyak faktor, antaranya seperti saiz ruang dan juga kesesuaian perabot.
Bagi Konah Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ, dia memilih untuk menggabungkan tiga konsep pada kediaman miliknya untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.
Gabungan konsep Muji, Scandinavian dan juga moden menyerlah estetika kediaman dua tingkat milik KJ dan suami yang terletak di Sepang, Selangor.
Konsep Muji misalnya merujuk kepada hiasan dalaman dengan penggunaan perabot ringkas dan cukup popular di Jepun serta Korea Selatan.
Ujar KJ, sebaik sahaja mendapat kunci rumahnya sekitar dua tahun lalu, dia dan suami mulai mencari konsep pilihan daripada internet.
“Susah sebenarnya mencari konsep idaman yang kena pada mata kami dan tidak lapuk dek zaman.
“Konsep sedemikian yang mampu kekal relevan sehingga ke anak cucu itu adalah cukup penting kerana kami tidak mahu kerap menukar konsep kediaman memandangkan kosnya yang tinggi,” kongsi KJ.
Dia kemudiannya memilih untuk mendapatkan khidmat syarikat hiasan dalaman bagi membantu menterjemah konsep yang diingini.
Biarpun terpaksa berdepan kelewatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, namun KJ mengakui berpuas hati dengan hasilnya.
Mengintai ruang tamu kediaman, rona kelabu lembut menerpa anak mata memandangkan rona tersebut digunakan sebagai warna utamanya.
Pemilihan sofa, langsir dan permaidani rona sama menyuntik kesenadaan pada seisi ruang, sekali gus menyerlah elemen tenang.
Sebagai menyuntik sedikit elemen mewah pula, KJ memilih meja kopi jenis marble atau marmar yang tampak sesuai dengan ruangan itu.
Dinding putih bersih pula menjadikan kediaman tampak lebih luas, selain menyerlah konsep moden.
Bagi ruang makan pula, KJ dan suami memilih meja makan kayu yang menaikkan seri kediaman.
Kerusi makan rekaan moden rona kelabu pula dipilih bagi sudut itu yang tampak senada dengan ruang tamu.
Konsep ringkas dan clean turut diterap pada ruangan dapur kediaman.
Kongsi ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, pemilihan rona putih dan rona asli kayu oak dipilih pada ruangan ini bagi memberi efek dapur lebih luas.
“Saya sengaja memilih kabinet jenis tiada pemegang bagi mengekalkan look yang kemas dan clean itu.
“Ini memandangkan ruangan dapur kami agak terhad keluasannya dan oleh sebab itu kami mahu mengekalkan konsep tersebut supaya ia sentiasa nampak kosong dan kemas,” ujarnya.
Bagi ruangan bilik tidur utama pula, konsep Muji diserlahkan menerusi hiasan panel kayu pada dinding utama. Padanan katil rekaan moden ringkas pula cukup sesuai dengan konsep tersebut yang menyerlah elemen tenang.