fbpx

‘Sebab boleh’ buat guru runsing, bahaya media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar jawapan yang diberikan oleh murid sekolah.

Baru-baru ini, seorang guru memuat naik hantaran di dalam TikTok yang memaparkan helai­an kertas jawapan peperiksaan pelajar.

Tindakan Cikgu Muaz Samad itu adalah bagi merujuk satu soalan objektif iaitu ‘Mengapakah lebuh raya dibina di Malaysia?’ Beliau meluahkan rasa kecewa ketika menanda kertas peperiksaan apabila pelajar terbabit meninggalkan jawapan ‘sebab boleh’ pada tiga ruangan kosong.

Frasa itu awalnya diperkenalkan seorang pesohor media sosial sebagai satu pendekatan untuk mengembalikan keyakinan seseorang, namun penggunaannya berbeza dalam masyarakat terutama generasi muda.

Turut berkongsi perkara sama seorang guru yang pengguna aplikasi X meluahkan rasa kecewa apabila pelajarnya menye­rahkan kertas peperiksaan tanpa jawapan.

Membalas ciapan itu, seorang pengguna berkata: “Tahu tak apa yang cikgu rungsing sekarang bila pelajar jawab ‘sebab boleh cikgu’ di dalam kelas dan kertas ujian.

“Sepupu aku (cikgu) mena­ngis sebab penat apabila anak-anak guna media sosial tanpa tapisan, kejahilan perlahan-lahan datang menyapa,” tulisnya.

Penulis yakin bukan perkara itu sahaja yang membelenggu ramai guru jika kita merujuk pelbagai trend tular yang diikuti pelajar sehingga memberi kesan kepada pembelajaran. Ada netizen berpendapat ge­nerasi sekarang mudah terpe­ngaruh dengan media sosial sehingga gagal memban­ding sama ada baik atau buruk.

Segelintir pihak pula dengan yakin menuding jari kepada silibus dan kurikulum pendidikan negara yang dikatakan terlalu tinggi sehingga menenggelamkan minat pelajar untuk belajar.

Persoalannya, adakah silibus pendidikan terlalu tinggi atau generasi muda kini ambil mudah dalam pelajaran kerana segala-galanya di hujung jari atau pelajar sekarang lebih mementingkan media sosial?

Vishranti Raut dan Prafulla Patil menggariskan impak ketagihan media sosial ke atas pelajar dalam artikel bertajuk Penggunaan Media Sosial dalam Pendi­dikan: Kesan Positif dan Negatif kepada Pelajar.

“Media sosial menjadi gangguan utama kepada pelajar sehingga menyebabkan kemerosotan dalam pembelajaran kerana tumpuan mereka terpesong akibat sering melayari pelbagai aplikasi walaupun ketika belajar.

“Pelajar sekarang lebih sibuk mengakses laman web berban­ding laman pendidikan selama berjam-jam sehingga beri kesan negatif terhadap pemikiran, kesihatan dan mewujudkan jurang dalam keluarga.

“Kesan buruk utama media sosial adalah ketagihan sehingga tidak boleh berenggang dengan aplikasi X, Facebook, Instagram dan sebagai­nya. Akibatnya, mereka akan terkesan dari segi pelajaran, kurang penyertaan dalam sukan, sukar berkomunikasi dan mengabai realiti sebenar kehidupan.

“Kebanyakan pelajar akan bergantung kepada media sosial dan laman web untuk mencari jawapan dalam menyelesaikan tugasan. Kesediaan pelajar untuk meluangkan masa menelaah dan mencari maklumat berkurangan disebabkan akses maklumat di media sosial,” katanya.

Maka, ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapa yang perlu mencorakkannya seharusnya dipandang dari sudut berbeza disebabkan cabaran teknologi kepada generasi muda.

Jika dahulu, ibu bapa bertanggungjawab membentuk anak-anak dengan ilmu, adab, akhlak dan agama. Namun kini teknologi juga perlu disaring, bukannya menjadi alat untuk menyenangkan kerja sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI