fbpx

Tiga gol awal punca skuad muda rebah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIF IKMALRIZAL (kanan) meledak gol sagu hati skuad negara ketika mereka tewas 1-4 menentang Vietnam pada saingan separuh akhir Piala AFF B-23 kelmarin. – FB FAM

PASUKAN bawah 23 (B-23) negara tidak mahu memberikan sebarang alasan terhadap kegagalan mereka mencapai sasaran apabila terkandas di peringkat separuh akhir Piala AFF B-23 2023 selepas tewas 1-4 kepada Vietnam kelmarin.

Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, E. Elavarasan me­ngakui tidak wajar me­nyalahkan keadaan cuaca atau jadual padat kerana perkara yang sama turut dialami oleh pasukan lawan.

“Faktor keletihan atau bermain pada waktu petang bukanlah isu utama kerana barisan pemain Vietnam juga melalui situasi sama.

“Secara peribadi, saya lihat kita gagal mengekang asakan pasukan lawan yang mudah mendahului 0-3 pada babak pertama dan ia menyukarkan kita untuk bangkit,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Rayong, Thailand itu, Vietnam berjaya meraih dua gol menerusi Dinh Xuan Tien dan satu daripada Ngu­yen Quoc Viet serta Ngu­yen Hong Phuc, manakala jari­ngan tunggal negara dihasilkan oleh Alif Ikmalrizal Anuar.

Mengulas lanjut, Elavarasan mengakui lebih gemar untuk menilai perkara positif kerana apa yang penting anak-anak buahnya dapat meraih pengalaman antarabangsa walaupun gagal mencapai sasaran mara ke final seperti ditetapkan pasukan.

“Secara keseluruhan, barisan kejurulatihan dapat menilai kualiti yang ada pada setiap pemain dan kita boleh lihat mereka cukup bersemangat untuk mengharungi setiap perlawanan pada kejohanan peringkat tinggi se­perti ini,” katanya.

Malaysia akan mengharungi perlawanan ‘pelengkap jadual’ menentang tuan rumah, Thailand pada aksi penentuan tempat ketiga di venue yang sama hari ini.

Vietnam pula selaku juara bertahan akan menentang Indonesia di pentas final selepas menewaskan skuad muda Gajah Perang 3-1 kelmarin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI