fbpx

Tidak mustahil Malaysia boleh capai tahap sara diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad bergambar bersama tanaman bawang hasil inovasi Mardi di program Show-Tech Mardi 2023, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menggerakkan lebih banyak inovasi teknologi di Malaysia terutamanya dalam bidang pertanian untuk memastikan negara dapat mencapai tahap sara diri (SSL).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekurangan beras dapat ditangani sekiranya semua pihak komited dalam meningkatkan keterjaminan makanan.

“Beras merupakan makanan asasi kita. Sekiranya berlaku kekurangan bahan makanan lain seperti ubi kentang, cili dan sebagainya, kita masih mampu untuk tangani.

“Tetapi, lain pula dengan beras. Buat masa ini, negara kita masih lagi mengimport 35 peratus beras dari luar negara. Bagaimanapun, ada beberapa negara yang bakal menghentikan import beras kerana ingin menjaga keterjaminan makanan negara sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar, program Show-Tech Mardi 2023, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor, hari ini.

Tegasnya, untuk memastikan sekuriti makanan terjamin, lebih banyak inovasi teknologi perlu diketengahkan di samping usaha mengurangangkan kebergantungan terhadap import.

“Kita mesti guna teknologi baharu untuk majukan lagi pertanian di negara kita. Tiga hari lepas, sebanyak 11.4 tan padi telah berjaya dituai di Kedah dan Perlis hasil daripada inovasi teknologi.

“Selain itu, kita juga mempunyai mesin baharu yang dapat mengurangkan kehilangan padi sehingga 2 peratus selepas tuaian. Sebenarnya, kita boleh mencapai tahap sara diri sekiranya kita terus membangunkan teknologi berkaitan pertanian dan agromakanan,” katanya.

Tambah Mohamad Sabu, negara dengan hasil kerjasama Mardi juga sedang giat menjalankan penyelidikan penanaman bawang, kobis bunga, kobis tanah rendah, jagung bijan dan jagung manis.

“Selama ini, kita mengeksport bawang dari luar negara. Namun, menerusi penyelidikan dan teknologi Mardi, kita dapati penanaman bawang di negara kita bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Oleh itu, penglibatan penyelidik dan kerjasama antara agensi, jabatan, universiti dan syarikat lain perlu dipergiat untuk memastikan matlamat ini tercapai,” katanya.

Tambahnya, Mardi juga sedang menjalankan program perintis dengan kerjasama Pebadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan harapan negeri tersebut bakal menjadi hab bawang negara pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI