fbpx

PM nasihat agar patuhi etika berkempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR ketika ditemui media selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Taman Dahlia, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram agar mematuhi etika ketika berkempen.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sepertimana yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa mana-mana parti politik tidak boleh menggunakan lambang politik dalam memberi atau menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Berhubung dengan etika kempen dan juga bantuan-bantuan kerajaan, kita telah berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) agar tidak ada pelanggaran.

“Kita hormat peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan keduanya perkara berbangkit (iaitu) penyaluran bantuan kerajaan menggunakan lambang parti, ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dahulu dan saya percaya ada juga satu dua berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

“(Saya tegaskan) bantuan kerajaan perlu disalurkan atas nama kerajaan,”katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Menyampaikan Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Kempas di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.

Pada majlis itu, Anwar menyempurnakan simbolik menyampaikan bantuan Bakul Rahmah kepada 10 penduduk Taman Dahlia di sini.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata, usaha Bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memperkenalkan inisiatif Payung Rahmat nyata dapat membantu meringankan beban rakyat.

“Salahuddin sudah lama berpolitik, bila (dia) pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja yang dilaksanakan dengan amanah, kurangkan tekanan kos sara hidup kepada rakyat.

“Semoga contoh ini dapat teruskan (sekaligus) menguatkan kerajaan dengan maksud beri khidmat terbaik kepada rakyat,”katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI