LONDON – Arsenal sedang berusaha untuk mendapatkan dana tambahan bernilai £100 juta (RM585.80 juta) sebelum jendela perpindahan kali ini ditutup dengan melepaskan sembilan pemain mereka.
The Gunners terdesak untuk menambahkan lagi kekuatan pasukan itu bagi memastikan mereka mampu menyaingi Manchester City dan sekali lagi mencabar kejuaraan selepas berdepan kekecewaan musim lalu.
Mereka telah mengeluarkan dana yang besar untuk membawa masuk Declan Rice, Kai Havertz dan Jurrien Timber, namun hanya berjaya melepaskan beberapa pemain sahaja termasuk Granit Xhaka, Pablo Mari, Matt Turner dan Auston Trusty.
Situasi itu menyaksikan Arsenal masih dibanjiri pemain yang ramai dan sebahagian mereka tidak diperlukan, malah mungkin sukar untuk mendapatkan minit permainan menyebabkan pengendali pasukan, Mikel Arteta membuat keputusan untuk melepaskannya.
Selain itu, perbelanjaan yang melonjak ketika mendapatkan pemain bintang meletakkan Arsenal berada di zon bahaya dengan kemungkinan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP) memaksa mereka melepaskan beberapa pemain untuk mengimbangi kewangan.
Beberapa pemain sudah berada dalam pertimbangan kelab itu, antaranya Folarin Balogun yang diletakkan tanda harga bernilai £40 juta (RM234.32 juta) untuk mana-mana kelab yang berminat ketika peluangnya dianggap tipis biarpun berjaya mempamerkan aksi terbaik.
Selain itu, bekas pemain termahal mereka, Nicolas Pepe juga akan dilepaskan selepas hanya meledak 27 gol dan 21 umpanan jaringan dalam 112 penampilan biarpun dibeli pada harga £72 juta (RM421.78 juta) dan dikaitkan dengan Besiktas serta beberapa kelab dari Arab Saudi.
Beberapa lagi pemain lain yang mungkin dijual oleh Arsenal adalah, Gabriel Magalhaes, Kieran Tierney, Takehiro Tomiyasu, Albert Sambi Lokonga, Rob Holding, Cedric Soares dan Nuno Tavares. – AGENSI