fbpx

PRK: Cuti anggota, pegawai polis dibekukan tumpu kelancaran PRK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman mengadakan sidang akhbar berkenaan persediaan Polis Kontinjen Johor pada PRK yang bermula esok.

JOHOR BAHRU – Cuti kesemua anggota dan pegawai polis Kontinjen Johor dibekukan bagi memastikan keupayaan penuh pemantauan dan penguatkuasaan dapat dijalankan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keanggotaan seluruh Polis Kontinjen Johor seramai 3,500 mencukupi bagi memastikan kelancaran PRK di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar bermula esok.

“Buat masa ini, tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan daripada kontinjen luar, keanggotaan Polis Kontinjen Johor sudah mencukupi bagi memastikan keamanan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Oleh itu, cuti kesemua anggota dan pegawai polis di setiap bahagian akan dibekukan supaya dapat menjalankan tugas pada tahap optima sepanjang PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut memberitahu, Polis Johor menubuhkan pasukan task force atau Pasukan Cantas yang dianggotai kira-kira 300 hingga 400 anggota polis bagi memantau sepanjang tempoh berkempen PRK yang bermula esok.

Beliau berkata, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan sekitar juga akan ditambah bagi meningkatkan pemantauan dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada sebarang gangguan berlaku.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan calon dan penyokong agar tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang tempoh kempen serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Saya mengingatkan semua yang terbabit supaya berkempen secara berhemah dan tatatertib serta menjauhi perbuatan merosakkan bahan kempen dan sebagainya.

“Semasa tempoh berkempen, turut diingatkan agar tidak menyentuh isu 3R (isu agama, raja dan kaum), ini termasuk kempen menerusi media sosial di mana mereka seharusnya mematuhi undang-undang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI