PERSATUAN Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (POWPKL) tampil dengan inisiatif menyediakan platform awal di peringkat akar umbi dalam misi mencari bakat-bakat berpotensi mewakili Malaysia pada masa depan.
POWPKL menerusi kerjasama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Milo menganjurkan Kejohanan Olahraga Remaja bagi peringkat umur tujuh hingga 15 tahun selama dua hari bermula esok dan Ahad ini.
Menariknya, kejohanan yang akan diadakan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu mendapat sambutan hangat apabila hampir 2,000 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka.
Setiausaha Agung POWPKL, Murugesu Soosaimany berkata, antara matlamat utama penganjuran adalah untuk menambah bilangan kejohanan buat atlet bawah umur dan memupuk semangat kemenangan dalam diri sejak sekolah rendah.
“Selain mempromosikan kempen melahirkan atlet berkualiti, kami juga berharap kejohanan ini mencapai objektif bagi melahirkan atlet olahraga di seluruh negara yang mampu bersaing dan meraih pingat,” katanya.
Sementara itu, Bendahari POWPKL, Syamsul Bani Abdullah ia juga boleh menjadi kejohanan pemanas badan sebelum saingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berlangsung di Negeri Sembilan pada Oktober depan.
“Kami tak jangka mampu menarik penyertaan seramai ini, jadi penganjuran ini akan diteruskan pada masa depan,” katanya yang juga Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Beliau percaya pendedahan awal sebegini mampu membantu mereka mengenal pasti bakat-bakat untuk menjadi pelapis kepada atlet-atlet kebangsaan terutama jaguh pecut, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi. – KOSMO! ONLINE