fbpx

Trak pikap dinaiki guru, staf SK Balar terbalik di laluan balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan trak pikap dinaiki guru dan kakitangan SK Balar yang terbalik semasa melalui jalan balak berhampiran Kampung Tapai, Pos Balar di Gua Musang semalam. -Foto GURU SK BALAR

GUA MUSANG – Tujuh guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Balar berdepan situasi cemas apabila trak pikap yang mereka naiki terbalik semasa melalui jalan balak berhampiran Kampung Tapai, Pos Balar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Guru Besar SK Balar, Mohd. Hazlimi Mat Arriffen yang memandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton dipercayai gagal mengawal kenderaan tersebut sebelum terbalik ke kiri jalan.

Mohd. Hazlimi berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandunya sedang menuruni bukit dan terjatuh ke dalam lurah jalan.

Katanya, kejadian itu merupakan pengalaman pertama yang dialaminya sejak berkhidmat di SK Balar lebih tiga tahun lalu.

“Semalam adalah hari terakhir persekolahan sebelum cuti selama seminggu. Tiada kenderaan pacuan empat roda yang masuk ke Pos Balar untuk membawa guru dan kakitangan keluar dari pos terbabit. Jadi, saya membawa enam orang guru termasuk kakitangan sekolah untuk keluar ke Gua Musang.

“Laluan di lokasi kejadian licin kerana hujan pada malam sebelumnya. Tayar kenderaan saya terjatuh ke dalam lurah sebelum turun bukit dengan perlahan-lahan dan terbalik,” katanya.

Mohd. Hazlimi memberitahu, ketika kejadian, dia hanya memikirkan keselamatan nyawa penumpang yang dibawa.

Katanya, dia bersyukur apabila semua penumpang selamat dan tidak mengalami kecederaan, namun ada beberapa guru hanya sakit badan kerana terjatuh.

“Kami bersyukur penduduk Orang Asli Kampung Tapai, Pos Balar datang memberi pertolongan awal.

“Trak pikap yang terbalik berjaya diangkat dengan bantuan dua buah kenderaan lain. Kami selamat tiba di bandar Gua Musang pada petang semalam,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Prasekolah SK Balar, Zanariah Ibrahim, 27, berkata, dia bersyukur mereka semua tidak mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian, saya melihat trak pikap yang dipandu guru besar bergerak turun bukit dengan perlahan. Kami yang berada di dalam dan belakang kenderaan sudah berpaut sebelum terbalik.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan yang berlaku ke atas kami melainkan sakit-sakit badan sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI