fbpx

50 nelayan terima bantuan LKIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faiz (tengah, belakang) bergambar dengan penerima bantuan LKIM di Seri Manjung hari ini. - Foto IHSAN LKIM

MANJUNG – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyampaikan bantuan touch point kepada 50 ahli Persatuan Nelayan Kawasan Manjung Selatan dalam satu majlis di Jeti Nelayan Kampung Pasir Pandak, Batu 8 Lekir dekat sini hari ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan disampaikan itu termasuklah tong ikan berinsulasi, pukat hanyut, pukat udang, enjin sangkut 40 kuasa kuda dan kotak makanan.

“Segala bantuan yang disampaikan kepada para nelayan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM53,743,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jualan Jimat@Madani Peringkat LKIM Perak bertujuan menawarkan pelbagai pilihan tangkapan ikan laut segar terus kepada pengguna dari bot nelayan yang mendarat di jeti pendaratan ikan berhampiran pasar-pasar nelayan LKIM.

Katanya, ia juga menawarkan pilihan alternatif ikan sejuk beku Qfish dengan penjimatan harga dan memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah.

“Jualan Jimat@Madani pula adalah salah satu bentuk promosi jualan ikan segar dan ikan sejuk beku Qfish bertempat di pasar-pasar nelayan LKIM yang terpilih bagi tahun 2023,” katanya.

Dalam pada itu, LKIM turut menyampaikan Bantuan Skim Bantuan Bencana Alam Dan Kebajikan Nelayan dengan nilai berjumlah RM78,750 dan Projek Ikan Kerapu Kumpulan Belia Nelayan (Kubena) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi (RM50,000).

Turut disampaikan adalah geran agropreneur muda kepada Nur Syazwani Amran (RM19,830) dan bantuan enjin sangkut kepada 33 orang nelayan PNK Kerian, PNK Manjung Utara, PNK Manjung Selatan, PNK Pulau Pangkor dan PNK Hilir Perak.

Jelas Muhammad Faiz, ia bagi membantu nelayan yang mengalami masalah kerosakan dan keuzuran enjin sekali gus menyukarkan mereka mencari nafkah.

“Bantuan ini juga bukan hanya dapat meringankan beban para nelayan terbabit tapi dalam masa yang sama dapat menambah pendapatan mereka. Pemberian bantuan enjin sangkut ini melibatkan kos sebanyak RM450,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI