fbpx

Hospital Seri Iskandar dijangka mula beroperasi awal tahun 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. SIVANESAN (kanan) meninjau tapak projek pembinaan Hospital Seri Iskandar di Bandar Universiti hari ini. - Foto oleh LIYANA RAMLI/KOSMO!

PARIT – Hospital Seri Iskandar dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun hadapan dan mula beroperasi pada awal tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, projek pembinaan hospital tersebut bermula pada 29 Januari 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 28 Oktober 2024.

“Keluasan tapak projek merangkumi enam hektar di mana asalnya tapak ini merupakan tapak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai jabatan pengguna.

“Komponen projek mengandungi Unit Pesakit Luar, Unit Kecemasan, Klinik Lawatan Pakar, Pusat Rehabilitasi, Hemodialisis, Rawatan Ibu Dan Anak, Wad Pesakit bagi dewasa dan kanak-kanak, makmal serta komponen Radiologi,” katanya dalam satu sidang akhbar di tapak pembinaan Hospital Seri Iskandar di sini hari ini.

Menurut Sivanesan, projek pembinaan Hospital Seri Iskandar diluluskan dengan nilai harga kontrak sebanyak RM147.8 juta.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan masih berjalan dan melangkaui jadual di mana status pencapaian progres kerja sebanyak 34.6 peratus berbanding jadual sebenar adalah 30 peratus.

“Jika dilihat kepada pencapaian progres kerja, jangkaan hospital ini akan siap awal dua bulan daripada tarikh jadual sebenar iaitu pada bulan Ogos 2024.

“Setelah pembinaan ini selesai, perkhidmatan di Hospital Changkat Melintang akan berpindah sepenuhnya ke Hospital Seri Iskandar,” katanya.

Sementara itu, Sivanesan berkata, status Hospital Changkat Melintang akan bertukar kepada klinik apabila projek ini siap sepenuhnya.

Katanya, Hospital Seri Iskandar ini bakal menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitar kawasan yang hampir mencecah 113,000 orang penduduk merangkumi 12 Mukim di daerah Perak Tengah.

Ujarnya, sebanyak 532 lot parkir akan disediakan di hospital tersebut dengan sembilan lot parkir untuk Orang Kurang Upaya (OKU).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI