PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya gelombang kebangkitan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini akan berterusan di Johor.
Beliau berkata, gelombang itu tidak akan berhenti dan bakal menyebelahi PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September depan.
Justeru, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru seluruh ahli dan penyokong PN bekerja keras membantu jentera parti memastikan kemenangan PN.
“”Alhamdulillah PN telah memilih dua nama iaitu ahli perniagaan, Zulkifli Jaafar bagi kerusi Parlimen Pulai dan pakar bedah endovaskular, Dr. Mohd. Nazri Yahya bagi DUN Simpang Jeram.
“Melihat kepada latar belakang dan pengalaman dua calon ini, saya yakin mereka dapat membawa cabaran PN dan diterima oleh rakyat di dua kawasan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada 9 September 2023.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dipetik berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE