WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ditangkap di sebuah penjara Georgia atas dakwaan melakukan penipuan dan konspirasi sebelum dibebaskan dengan bon ikat jamin AS$200,000 (RM930,300) dan foto mug shot bersejarahnya dirakam.
Trump yang dituduh berkomplot bersama 18 suspek lain untuk mengubah keputusan pilihan raya di negeri Georgia pada 2020, berada kurang 30 minit di Penjara Daerah Fulton, Atlanta sebelum beredar bersama konvoinya ke lapangan terbang.
Trump, 77, juga menyaksikan gambar mug shotnya dirakam semasa proses tangkapan itu. Ia merupakan foto mug shot pertama terhadap Presiden atau bekas Presiden AS.
Dalam gambar yang disiarkan oleh pejabat sherif daerah berkenaan, Trump memandang dengan marah ke arah kamera.
Bercakap kepada pemberita selepas penangkapannya, Trump yang merupakan calon pilihan Parti Republikan untuk pilihan raya Presiden 2024 berkata: “Ini adalah hari yang amat menyedihkan buat Amerika”.
“Apa yang berlaku adalah keadilan dipersendakan. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” ujarnya.
Trump diberikan nombor banduan PO1135809 oleh Penjara Daerah Fulton yang menyenaraikan tingginya ialah 1.9 meter (6 kaki 3 inci) dan memiliki berat badan 97 kilogram. – AFP