KUALA SELANGOR – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor merekodkan 9,423 individu hilang pekerjaan di negeri ini sepanjang tempoh Januari sehingga September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan, Mohd. Khairuddin Othman berkata, jumlah tersebut merangkumi lima peratus tenaga pekerja di seluruh Selangor.
“Justeru, kita menyasarkan untuk menurunkan kadar pengangguran sebanyak 0.5 peratus daripada 9,423 individu yang kehilangan kerja ini.
“Dua program iaitu Jelajah Selangor Bekerja 2020 dan Insentif Roda Darul (RiDE) diharap dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan pendapatan,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Jelajah Selangor Bekerja 2020, Mohd. Khairuddin menegaskan seramai 9,969 individu telah memohon pekerjaan sehingga 15 September lalu.
Kata beliau, sebanyak 20 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk sektor logistik, peruncitan, perkhidmatan dan lain-lain yang terlibat dalam jelajah ini.
“Jelajah ini akan diadakan di tiga daerah lagi di Gombak, Petaling dan Hulu Langat, bermula hari ini sehingga 29 November.
“Walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda, kerajaan Selangor akan terus menganjurkan Jelajah Selangor Bekerja 2020 untuk membantu rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang peserta program, Siti Nur Syafiqah Husin, 25, memberitahu, telah memohon pekerjaan daripada lima buah syarikat yang terlibat program itu.
‘Saya berharap ada rezeki selepas enam bulan menganggur setelah berhenti kerja daripada sebuah syarikat logistik,” katanya. – K! ONLINE