fbpx

Permohonan Najib gantung sementara bicara kes 1MDB didengar esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Pendengaran permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung sementara perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Rayuan, di sini esok.

Permohonan Najib di Mahkamah Rayuan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan 1MDB.

Najib memohon hakim itu menarik diri dengan alasan berlakunya konflik kepentingan susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co ketika menjadi peguam, 10 hingga 15 tahun lalu.

Perkara itu kemudian disahkan salah seorang peguam Najib yang mengendalikan kes 1MDB, Alaistair Brandah Norman yang menyatakan permohonan untuk menggantung prosiding 1MDB telah difailkan pihaknya semalam.

Sebelum ini, hakim Collin menolak permohonan Najib supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes itu pada 18 Ogos lalu.

Pada masa sama hakim itu turut menolak permohonan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding perbicaraan 1MDB.

Di Mahkamah Tinggi, hakim itu menolak permohonan terbabit (supaya beliau menarik diri) selepas mendapati tiada sebarang konflik kepentingan yang akan timbul dan kemungkinan beliau akan bertindak berat sebelah terhadap Najib jika terus mendengar perbicaraan kes berkenaan.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan dan bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, berkata tidak pernah berkomunikasi dengan Jasmine sama ada secara profesional atau peribadi sejak wanita itu meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008 selain beliau juga tidak bertemu dengan Jasmine sejak itu, iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

Perbicaraan kes 1MDB yang bersambung pada 28 Ogos ini akan mendengar keterangan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mana pada peringkat sekarang adalah soal balas oleh peguam Muhammad Shafee.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI