PETALING JAYA – Graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal menikmati prospek kerjaya lebih baik pada masa hadapan dengan memanfaatkan kemudahan Wage Guide yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kemudahan tersebut yang tersedia di laman web eiscentre.perkeso.gov.my menggunakan teknologi analisis data bagi menyediakan profil dan julat gaji mengikut jenis pekerjaan, terutama dalam bidang teknikal dan vokasional.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, usaha memperkasakan graduan TVET dengan pemprofilan gaji menggunakan Wage Guide membantu graduan membuat keputusan tepat dalam kerjaya.
“Wage Guide memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dengan menghasilkan graf panduan berkenaan gaji kepada graduan TVET, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih baik.
“Menggunakan teknik pembelajaran mesin yang mengambil kira faktor seperti umur, pekerjaan, lokasi dan kelayakan, Wage Guide menjana profil gaji yang menunjukkan ramalan julat gaji mengikut pekerjaan dan umur,” katanya.
Menurut beliau, Wage Guide memainkan peranan penting dalam memperkasakan graduan TVET terutama dalam pasaran pekerjaan yang bergaji rendah mengikut gaji minimum dari RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan.
“Berbekalkan maklumat daripada Wage Guide, graduan mampu berunding dengan majikan untuk mendapatkan gaji lebih tinggi setaraf kelayakan dan kemahiran mereka, sekali gus menghasilkan pemadanan lebih baik dengan peluang pekerjaan bersesuaian.
“Pada masa sama, apabila menyedari bahawa bakal pekerja mempunyai akses kepada maklumat gaji, Wage Guide turut dilihat bakal mewujudkan persaingan yang baik dalam kalangan majikan untuk memberikan tawaran gaji ‘bermaruah’ kepada graduan TVET.
“Ini dapat mewujudkan pasaran pekerjaan yang sihat dengan tumpuan pengambilan pekerja beralih kepada tawaran gaji lebih adil dan berdaya saing,” katanya.
Sivakumar menambah, satu lagi peralatan disediakan di eiscentre.perkeso.gov.my bagi membantu prospek perkembangan kerjaya ialah Career Bridge Tool, yang membantu graduan termasuk lepasan TVET dalam mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka.
“Dengan menghubungkan kelayakan dengan kekosongan pekerjaan yang tersedia di MYFutureJobs, Career Bridge Tool membolehkan graduan TVET meneroka peluang pekerjaan mengikut bidang pilihan mereka dengan memberikan akses kepada pangkalan data menyeluruh dalam membantu menunjukkan potensi laluan kerjaya,” katanya.
Untuk menggunakan Career Bridge Tool, pengguna perlu memilih tahap kelayakan dan membuat carian nama kelayakan mereka, kemudian klik pada butiran jawatan kosong untuk memaparkan senarai kekosongan jawatan yang mengandungi nama pekerjaan, nama majikan, lokasi, jenis kontrak dan julat gaji.
Seterusnya, graduan TVET boleh memohon jawatan yang mereka minati dengan log masuk ke portal MYFutureJobs. -KOSMO!ONLINE