JOHOR BAHRU – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yakin peningkatan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri utara dan pantai timur tidak akan berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.
Beliau sebaliknya yakin pengundi di Parlimen Pulai dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di dua kawasan itu akan menyokong Kerajaan Perpaduan.
“(Gelombang PN sampai ke Johor) Itu saya tidak mahu komen, biarlah mereka yang bercakap semasa sendiri hal itu. Sebaliknya saya mahu fokus kepada kekuatan kita sendiri.
“Kami akan bekerjasama sebaik mungkin bersama rakan-rakan komponen termasuklah sahabat baharu kami iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangkan calon kami.
“Kami juga yakin akan dapat tingkatkan jumlah undi yang diterima berbanding pilihan raya di kedua-dua kerusi berkenaan, kerana Pulai dan juga Simpang Jeram bukan kawasan pro PN sebaliknya adalah pro PH dan BN,” katanya dalam sidang akhbar pengenalan calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan di Hotel Thistle, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Naib Presiden Amanah, Adly Zahari dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Dalam majlis tersebut, Mohamad turut mengumumkan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat sebagai calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK Parlimen Pulai, manakala Timbalan Ketua Amanah Bakri, Nazri Abdul Rahman pula calon di PRK DUN Simpang Jeram.
Mohamad yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga enggan merujuk pelaksanaan kedua-dua PRK ini sebagai referendum rakyat, sebaliknya ia hanyalah proses perjalanan demokrasi.
“Selain itu, momentum jentera kita juga dalam keadaan baik, boleh dilihat dalam sidang akhbar ini dimana wakil semua parti dalam Kerajaan Perpaduan turut hadir, DAP ada, PKR ada serta UMNO dan BN juga ada.
“Jadi saya yakin, suasananya akan lebih hebat lagi pada hari mengundi,” jelasnya lanjut.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.-KOSMO! ONLINE