fbpx

Swee Fatt dapat rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chang Swee Fatt menunjukkan pembinaan rumah baharunya yang telah dimulakan di Kampung Chedang, dekat sini. FOTO: ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

SEREMBAN – Kisah bekas pekerja kilang papan, Chang Swee Fatt, 61, yang tinggal di dalam sebuah stor usang bersama 13 ekor anjing selepas rumahnya musnah akibat banjir kilat yang berlaku di Kampung Chedang dekat sini baru-baru ini mendapat perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebuah rumah baharu bernilai RM10,000 kini mula dibina di tapak asal rumah Swee Fatt dan ia dijangka mengambil masa selama tiga minggu untuk siap.

Pengerusi Alumni Universiti Terbuka Malaysia, Zarina Abu Zarin berkata, sebelum ini pihaknya telah mengumpul dana sebanyak RM4,000 untuk tujuan tersebut namun ia masih tidak mencukupi.

“Alhamdullilah, pihak kami akhirnya berjaya mengumpul sebanyak RM10,000 dengan tambahan sumbangan iaitu daripada jurulatih Flying Eagle Swimming Academy, Irene Hisham, sumbangan dari Masjid Rasah Kemayan selain orang perseorangan lain.

“Pembinaan rumah tersebut juga adalah hasil idea seorang arkitek yang sukarela mereka bentuk rumah tinggi dan mempunyai sebuah bilik termasuk sebuah ruang kecil, dapur dan bilik air yang bernilai RM10,000 dengan menggunakan kayu sedia ada dan bumbung yang terpakai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan kisah seorang pesakit kanser yang tinggal di dalam sebuah stor usang selepas rumah peninggalan mendiang bapanya dibawa arus banjir.

Dalam pada itu, menurut Zarina, kira-kira lapan orang sukarelawan akan membantu membina rumah yang lebih tinggi yang dijangka siap dalam masa tiga minggu.

“Beberapa hari lalu, kami telah memulakan pembinaan rumah untuk Swee Fatt dan ia dijangka siap dalam masa tiga minggu, manakala bekalan elektrik juga akan dibaiki dan disambung semula selepas pembinaan rumahnya itu siap kelak,” katanya.

Sementara itu, Swee Fatt berkata, dia cukup terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sumbangan dan membantu membina rumah baharu untuknya.

“Rumah stor ini pula saya akan gunakan sebagai tempat perlindungan 13 ekor anjing dan lima ekor ayam yang saya pelihara,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI