Luar kotak dan tidak klise. Demikian gambaran tepat untuk garapan segar filem terbaharu berjudul Walid yang bakal menemui penonton bermula 14 September depan.
Filem yang bakal muncul di pawagam seluruh Malaysia tersebut menonjolkan aksi dan seni mempertahankan diri, selain mengangkat kes penculikan kanak-kanak yang disifatkan menjangkau standard kebiasaan naskhah genre sama.
Di tangan pengarah muda, Areel Abu Bakar, naskhah berkenaan dijangka meletakkan satu penanda aras buat filem bergenre aksi yang tertumpu kepada tunjang budaya orang Melayu iaitu silat.
Menurut Areel, naratif yang dibawa dalam Walid tertumpu kepada seni silat sebagai elemen utama disokong plot berat yang menjadikan jalan cerita filem lebih segar.
“Walid bukan sekadar tonjol aksi semata-mata, malah turut mengangkat isu kemanusiaan dan kenegaraan dengan menerapkan silat yang merupakan warisan budaya sebagai ramuan utama.
“Selain silat, filem ini juga memaparkan isu global seperti pemerdagangan manusia melibatkan kanak-kanak yang dijadikan komoditi dalam pasaran gelap antarabangsa demi mengaut keuntungan,” katanya panjang lebar.
Tambah Areel lagi, Walid menjanjikan aksi sempurna dan berbisa memandangkan barisan pelakon mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri, khususnya silat demi memenuhi tuntutan lakonan.
“Boleh dikatakan 99 peratus pelakon yang terlibat dalam aksi pertarungan mempunyai asas mempertahankan diri dan ada juga pelakon yang merupakan pesilat sebenar,” katanya.
Bebas jadi jahat
Sementara itu, Nam Ron yang menjayakan watak Pak Ku berkata, meskipun naskhah dan peranannya sangat berat, dia menyukai karakter tersebut memandangkan sudah lama tidak membawa watak antagonis.
“Watak antagonis memberi ruang bebas untuk saya. Dari segi percakapan pun boleh cakap apa sahaja sebab watak itu memang sedia ada jahat.
“Berbeza dengan watak ‘putih’ yang menuntut kita menjaga bahasa setiap kali dialog dilontarkan.
“Apa pun, saya senang bekerja di bawah arahan Areel kerana dia terbuka jika saya memberi pendapat atau improvise skrip yang diberikan supaya lebih berkesan,” ujarnya.
Bagi Fad Anuar yang menggalas peranan sebagai Yakpat, cabaran lebih kepada penggunaan bahasa memandangkan peranan tersebut menuntutnya untuk bertutur dalam bahasa Thailand berdialek ‘Satun’.
Pesilat sebenar
“Untuk menjayakan watak Yakpat, saya menuntut ilmu dengan dua guru yang memang asal Thailand, hampir tiga minggu saya mengulangkaji setiap perkataan serta lenggok dialog.
“Susah memang susah, tapi kena ikhtiar juga untuk kuasai bahasa tersebut demi tuntutan watak.
“Bab bertarung semua tiada masalah sebab latar belakang saya memang seorang pesilat,” katanya.
Walid sebenarnya telah ditayangkan di Amerika Syarikat iaitu di Cinema Village, New York pada 28 Julai hingga 3 Ogos lalu, manakala di Laemmle Glendale, Los Angeles pada 11 Ogos hingga 17 Ogos lalu.
Selain Nam Ron dan Fad, filem berkenaan turut dibarisi Megat Sharizal, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh Izwandy, Shamputra, Yusran Hashim, Taiyuddin Bakar dan Jebar Zulfar.
Alur cerita bermula dengan kisah seorang guru berdedikasi bahkan secara sukarela mengajar kanak-kanak kurang bernasib baik di sebuah kampung pedalaman.
Segala-galanya berubah apabila beberapa pelajarnya hilang disyaki diculik membuatkannya menjejaki penculik dengan bantuan daripada rakan yang mempunyai seni mempertahankan diri.