NASHVILLE, TENNESSEE – Seekor anak zirafah tanpa tompok dilahirkan di sebuah zoo di Tennessee, Amerika Syarikat (AS), menjadikannya satu-satunya haiwan mamalia tersebut yang dipercayai lahir dengan keadaan sedemikian, lapor akhbar Daily Star.
Pihak Zoo Brights dalam satu kenyataan Selasa lalu berkata, anak ziafah itu dilahirkan pada 31 Julai lepas.
“Pakar-pakar zirafah percaya ia adalah satu-satunya zirafah tanpa tompok yang hidup di dunia,” kata Zoo Brights.
Menurut kakitangan zoo tersebut, anak zirafah yang kini berketinggian 1.8 meter itu berada dalam keadaan sihat di bawah jagaan induknya.
Zoo Brights turut memberi empat pilihan kepada orang ramai untuk memilih nama paling sesuai diberikan kepada haiwan berkenaan dengan membuat undian di laman Facebook rasminya.
Ia terdiri daripada Kipekee yang bermaksud unik, Firyali yang bermaksud luar biasa, Shakiri yang bermaksud paling cantik dan Jamella, iaitu salah satu kecantikan paling hebat. – AGENSI