Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Kegembiraan tujuh sekawan menyambut hari lahir berhampiran rumah ibadat di Mak Mandin, di Butterworth di sini semalam mengundang padah apabila mereka menjadi antara 37 individu yang dikompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kompaun RM1,000 setiap seorang dikeluarkan selepas polis menjalankan pemeriksaan mengejut menerusi Op-Covid 19 di beberapa lokasi sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka yang berusia 40-an itu didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa mengadakan majlis itu.
“Selain itu, 30 individu lagi dikompaun di kafe, gerai burger, gerai makan dan pasar awam atas pelbagai kesalahan antaranya berada di premis melebihi masa ditetapkan selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan gagal memeriksa suhu sebelum memasuki premis.
“Tujuan operasi dilakukan adalah untuk mendidik masyarakat betapa pentingnya pematuhan arahan PKPB bagi memutuskan rantaian Covid-19 daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan sama-sama bertanggungjawab untuk mengekang wabak ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) 2020. – K! ONLINE