KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan memantau acara perbarisan hari kebangsaan pada minggu depan bagi memastikan ia berlangsung dengan harmoni.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan, berkata, wujud kebimbangan logo dan tema berbeza daripada ditetapkan kerajaan dipamerkan bagi mencetuskan provokasi.
“Pihak polis berharap sambutan Hari Kebangsaan ke-66 ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibbah dan setia terhadap negara.
“Elakkan penggunaan logo atau tema yang boleh mencetuskan kontroversi,” katanya selepas melancarkan program Kibar Jalur Gemilang Langkah Madani di Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Program perarakan sejauh 5.1 kilometer itu membabitkan kira-kira 400 penjawat awam jabatan dan agensi Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Mazli menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya wujud pihak cuba membuat provokasi sempena sambutan Hari Kebangsaan tersebut nanti.
Dalam perkembangan sama, Mazli mengingatkan mana-mana penganjur agar memohon permit bagi kebenaran pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang Merdeka. – KOSMO! ONLINE