fbpx

Askar Wagner berikrar balas dendam kematian Prigozhin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat Embraer-135 yang dinaiki Prigozhin (gambar bawah, kiri) terhempas ketika terbang antara Moscow dan Saint Petersburg, kelmarin. - AFP

MINSK, BELARUS – Askar-askar upahan Wagner yang berada di Belarus berikrar untuk membalas dendam terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Yevgeny Prigozhin, selepas sebuah jet peribadi dinaiki ketua kumpulan tersebut terhempas di Russia.

Akhbar Daily Express melaporkan, amaran itu dikeluarkan beberapa jam selepas pihak berkuasa Russia mengesahkan Prigozhin berada di dalam pesawat yang terhempas berkenaan, yang mengorbankan 10 orang termasuk tiga kru, petang kelmarin.

Nahas tersebut berlaku dua bulan selepas Wagner di bawah pimpinan Prigozhin cuba melakukan pemberontakan ke atas Presiden Vladimir Putin.

Pegawai-pegawai Russia berkata, seorang rakan lama Putin yang juga gagal dalam melakukan rampasan kuasa itu adalah antara mangsa terkorban dalam nahas tersebut.

Kementerian Situasi Kecemasan Russia mengumumkan insiden tersebut yang melibatkan pesawat jenis Embraer-135 (EBM-135BJ) yang sedang terbang antara Moscow dan Saint Petersburg.

Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Russia (Rosaviatsiya) kemudian memaklumkan Prigozhin adalah antara yang berada dalam pesawat berkenaan.

“Menurut syarikat pengendali pesawat itu, Prigozhin adalah antara penumpang pesawat Embraer-135 (EBM-135BJ),” kata Rosaviatsiya.

Susulan insiden tersebut, para pengikut setia Prigozhin yang berundur ke Belarus selepas pemberontakan berikrar untuk membalas dendam atas kematiannya.

“Terdapat banyak perbincangan mengenai apa yang akan dilakukan oleh kumpulan Wagner. Satu perkara yang kami boleh katakan adalah, kami sedang memulakannya (balas dendam), bersiap sedia untuk kami,” kata kenyataan yang dikeluarkan Wagner.

Beberapa jam selepas ancaman itu dikeluarkan, Belarus dilaporkan memutuskan talian internet di kawasan kem utama Wagner di Kampung Tale.

“Putin dan Alexander Lukashenko (Presiden Belarus) dilihat cuba menghalang Wagner daripada berkomunikasi antara satu sama lain dan menyelaras tindak balas pantas,” lapor laman berita Visegrad 2.

Satu saluran Telegram berkaitan Wagner, Grey Zone pula mendakwa pesawat Embraer-135 tersebut ditembak jatuh oleh tentera Russia, namun tidak memberikan bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Sementara itu, Rosaviatsiya berkata, ia menubuhkan suruhanjaya khas untuk menyiasat nahas pesawat milik MNT-Aero itu, lapor agensi berita AFP.

Dalam pada itu, Kiev dan Washington bertindak balas pantas terhadap laporan awal nahas itu dengan pembantu Presiden Ukraine, Mykhaylo Podolyak menulis di media sosial bahawa nahas pesawat tersebut adalah isyarat daripada Putin kepada golongan elit Russia menjelang pilihan raya 2024. 

“Berhati-hati! Ketidaksetiaan bermaksud kematian,” katanya.

“Saya tidak tahu apa  sebenarnya yang berlaku tetapi saya tidak terkejut,” ujar Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengenai insiden tersebut.

Beberapa rakaman nahas tersebut memaparkan pesawat yang didaftarkan kepada salah satu syarikat Prigozhin itu berputar dan terjunam dengan pantas ketika berada pada ketinggian kira-kira 8,534 meter dengan asap turut dapat dilihat.

Beberapa saat kemudian, kepulan asap hitam menjulang ke langit ketika ia mula terbakar sejurus terhempas di atas tanah. – AFP/AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI