PETALING JAYA – Bomba menyelamatkan seorang wanita yang cedera apabila tergelincir ketika menuruni Bukit Broga, Semenyih pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.53 pagi tadi.
Katanya, seramai enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohamad Hafizul Kasad bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan seorang wanita berusia 30 tahun yang dipercayai tergelincir ketika menuruni bukit.
“Anggota yang tiba di lokasi mangsa kira-kira pukul 11.12 berjaya membawa mangsa yang mengalami seliuh di bahagian pergelangan kaki kanan turun dari bukit menggunakan ‘strecher’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Setelah berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE