fbpx

Pengasuh taska dera budak dipenjara 12 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan lebam di beberapa bahagian badan seorang kanak-kanak lelaki didakwa menjadi mangsa dera pengasuh wanita di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang. -Foto: Ivan Amirul/KOSMO!

KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas pengasuh taska atas kesalahan memukul kanak-kanak lelaki baru-baru ini.

Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah, 27, yang mengaku bersalah atas perbuatannya itu turut dikenakan denda RM10,000 atau penjara tambahan selama 12 bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah hari ini.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun ke atas tertuduh.

Hakim Amir Syah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan tertuduh selain hujahan mitigasi peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili wanita itu.

Berdasarkan fakta kes, Melona dituduh menganiayai kanak-kanak lelaki berumur empat tahun sehingga mengakibatkan mangsa cedera di sebuah taska di Penampang antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 8 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.

Terdahulu Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang bapa tidak sanggup melihat video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memperlihatkan anak lelakinya ditendang, ditampar dan ditarik rambut didakwa dilakukan pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Penampang.

Malahan lebih memilukan apabila kanak-kanak berusia empat tahun itu ditampar dan dipukul guna pembaris di muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.

Kejadian tersebut juga tular di media sosial apabila video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI