PETALING JAYA – Drama Korea berjudul Start-Up yang menjadi pilihan ramai penonton menerusi Netflix kini trending di media sosial.
Episod ke-sembilan drama yang dibintangi pelakon terkenal Nam Joo-hyuk atau dikenali sebagai Nam Do-san itu trending selepas rakannya menyebut Kota Kinabalu sebagai satu destinasi pelancongan setaraf Santorini.
Rata-rata netizen memuat naik klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan adegan pemakan berkenaan menyebut nama Kota Kinabalu.
Menerusi ciapan Twitter @nurrjie menyampaikan ucapan terima kasih kerana secara tidak langsung produksi drama berkenaan mempromosikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.
“Walaupun episod ini agak menyedihkan tapi saya berterima kasih kerana sebut Kota Kinabalu,” tulisnya.
Turut berkongsi pendapat yang sama, @alifafiqm menegaskan Kota Kinabalu merupakan destinasi terkenal bagi kalangan pelancong Korea Selatan.
“Kota Kinabalu sangat famous di Korea, sudah dua kali saya menonton drama dari negara itu yang menyebut nama Kota Kinabalu,” katanya.
Sebelum ini media tempatan melaporkan, kumpulan artis terkenal K-pop, BTS pernah bercuti serta merakamkan video pendek di Kota Kinabalu pada tahun 2015. – K! ONLINE