DUNGUN – Seorang juruteknik kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas kereta, Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 22, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Padang Pulut di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 3.50 petang itu, mangsa, Sukri Md. Said @ Awang, 42, dari Bukit Kuang, Kemaman meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Al Muktafi Billah Shah dari pusat bandar Dungun di sini.
Kemalangan tersebut dipercayai berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang pesara guru dikatakan terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kerera Perodua Kancil dipandu Sukri.
Impak pelanggaran itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda tersebut terbalik manakala Perodua Kancil dipandu mangsa pula remuk teruk pada bahagian hadapan.- KOSMO! ONLINE