KEMAMAN – Seekor gajah jantan yang berjaya ditangkap pada Selasa lalu telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang semalam.
Kerja-kerja untuk memujuk gajah seberat dua tan yang ditangkap setelah menceroboh Ladang Kelapa Sawit Espek 6, Cherul, Hulu Kemaman dekat sini itu memakan masa lebih lima jam.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, gajah jantan berusia 30 tahun tersebut dipercayai telah memusnahkan lebih 4,000 anak pokok kelapa sawit di ladang berkenaan sebelum berjaya ditangkap.
“Kerja-kerja untuk memindahkan gajah liar berkenaan agak mencabar kerana laluan ke lokasinya ditangkap bukan sahaja berbukit malah lecak dan licin ekoran hujan lebat sehari sebelum itu.
“Lori yang membawa dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai juga pada mulanya tidak boleh memasukinya sebelum laluan khas terpaksa dibina dengan menggunakan jengkaut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohamad Khairul Adha berkata, Abot dan Rambai akhirnya berjaya memujuk gajah liar tersebut untuk menaiki lori disediakan sekali gus dibawa keluar dari kawasan berkenaan.
Kosmo! Online 11 Oktober lalu melaporkan Jabatan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar. – K! ONLINE