fbpx

Jihan Muse lepaskan tawaran berlakon demi susu anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIHAN dan suaminya, Ungku Hariz.

PUTRAJAYA – Pengacara dan pelakon, Jihan Muse lebih selektif menapis tawaran bagi memberi tumpuan penuh terhadap anak keduanya yang bakal mencecah usia setahun bulan depan.

Kata pemilik nama penuh Nuur Jihan Musa itu, tekad memberikan susu ibu kepada si kecil secara eksklusif hingga genap dua tahun membuatkannya tidak ralat melepaskan undangan lakonan.

“Kami tiada pembantu, urusan rumah serta menjaga anak-anak dilakukan bersama suami tetapi kebelakangan ini Ungku Haris terbabit dalam penggambaran yang memerlukan saya fokuskan dulu kepada rumah tangga.

“Pada masa sama saya juga ingin berikan putera kedua kami susu ibu sepenuhnya sampai umur dua tahun kerana dulu lepas pantang saya terus keluar bekerja.

“Saya tak ralat ketepikan lakonan buat sementara waktu, tambahan pula saya tak pernah tinggal anak kecil kami lama sebab mahu kejar waktu menyusukannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media The Chosen One, baru-baru ini.

Begitupun, bekas pengacara Gegar Vaganza itu sedia terbabit dalam program televisyen yang tidak memerlukan masa panjang seperti rancangan realiti baharu The Chosen One terbitan Astro.

Belum disiarkan, pertandingan berkonsepkan nyanyian membabitkan peserta kanak-kanak itu menyaksikannya duduk di kerusi juri yang turut membabitkan Hazama, Afieq Shazwan dan beberapa penyanyi lain sebagai mentor.

“Apabila ditawarkan tanggungjawab sebagai juri The Chosen One, saya tak mampu menolak melihatkan keunikan program ini membabitkan bakat muda, selain tugasannya hanya sehari dalam seminggu.

“Tawaran mengacara program buat masa ini belum ada, apabila dipertanggungjawabkan sebagai juri itu pun satu amanah besar, apatah lagi membabitkan peserta muda,” luahnya.

Terdahulu, perkahwinan pelakon Keluarga Bahadon itu dengan Ungku Haris yang juga aktor pada 2016 dikurniakan Ungku Altamis Barr, 11 bulan, serta Ungku Arsalan Haq yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI