LONDON – Legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi menuntut agar anak didiknya, Franco Morbidelli menyertai Pramac Racing kerana melihat pasukan tersebut satu-satunya entiti boleh menyelamatkan masa depan pelumba berusia 28 tahun tersebut.
Pelumba berasal dari Rome, Itali itu ‘disingkirkan’ Yamaha pada musim depan selepas pasukan Jepun tersebut membuat keputusan untuk menyunting bekas pelumba Suzuki, Alex Rins yang kini bersaing bersama pasukan LCR Honda.
Rossi mencadangkan agar Pramac Ducati mengambil Morbidelli pada saingan musim depan kerana yakin pelumba berusia 28 tahun itu mampu memenangi perlumbaan semula berikutan pasukan Itali itu dijangka menggunakan jentera Desmosedici GP24.
“Adalah hebat untuk Franco (Morbidelli) pergi menyertai pasukan itu. Besar kemungkinan dia juga akan menunggang jentera kilang (GP24). Morbidelli boleh memenangi perlumbaan dan perkara terbaik untuknya adalah memacu jentera Ducati.
“Franco sangat bagus di Yamaha, pada tahun kedua dia menewaskan Fabio Quartararo dan menjadi naib juara dalam kejuaraan dunia. Kelewatan teknikal Yamaha membuatkan mereka terpaksa membayar harga mahal.
“Franco mampu memenangi perlumbaan semula dan perkara terbaik ketika ini dia perlu menunggang jentera Ducati,” kata Rossi
Idea Rossi dianggap realistik selepas Johann Zarco meninggalkan pasukan Pramac untuk menggantikan Rins di LCR Honda. Kekosongan tersebut memberi ruang dan peluang untuk Morbidelli untuk kekal bersaing dalam saingan MotoGP musim depan. – AGENSI