LONDON – Sepasukan polis menyerbu sebuah pesawat Jet2 di sebuah lapangan terbang di Britain selepas menerima ancaman bom, lapor portal MailOnline semalam.
Penerbangan pesawat itu dari Lapangan Terbang East Midlands turut ditangguhkan sekitar pukul 5.15 petang (waktu tempatan) semalam, selepas seorang penumpang mendakwa dia memiliki bahan letupan.
Pesawat yang dijadualkan menuju ke Antalya, Turkiye itu sepatutnya berlepas pada pukul 4.45 petang (waktu tempatan), namun akhirnya meninggalkan landasan pada pukul 8.08 malam (waktu tempatan).
Rakaman kejadian memaparkan dua pegawai polis lengkap bersenjata berdiri di hadapan orang ramai sambil menyuruh penumpang lelaki itu keluar dari pesawat dengan mengangkat tangannya ke atas kepala. Turut kelihatan ialah isterinya dan seorang gadis yang mengikuti lelaki itu dari belakangnya.
Polis kemudian menahan lelaki tersebut, namun tiada sebarang bom ditemui selepas menggeledah pesawat itu.
“Lelaki yang ditahan itu telah dibebaskan dengan ikat jamin dan siasatan kami masih diteruskan,” kata kenyataan Polis Leicestershire. – Agensi