JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia berkongsikan kisahnya yang diceraikan suami demi perempuan lain setelah melahirkan anak sulung, selepas empat tahun mereka berkahwin, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Kisah itu dimuat naik Andini dalam akaun TikTok @andinim08. Dia berkongsi gambar ketika bersama bekas suaminya di sekolah menengah, dilamar dan berkahwin.
“Bercinta tujuh tahun dan berkahwin hanya empat tahun, kemudian bercerai,” demikian menurut kapsyen pada hantaran tersebut.
Selepas tamat sekolah, Andini dan pasangannya menjalani hubungan jarak jauh selama dua tahun kerana lelaki itu merantau ke luar negeri untuk bekerja.
Apabila kewangan stabil, pasangan itu berkahwin dalam satu majlis yang bertemakan adat Bugis. Andini akhirnya tinggal bersama suaminya di Balikpapan dan belajar berdikari.
Setelah dua tahun berkahwin, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata. Mereka kemudian memutuskan untuk pulang ke kampung dan berniaga secara kecil-kecilan.
Andini kemudian hamil anak pertama dan bersalin pada 24 Mac lalu.
Selepas bersalin, dia merasakan sikap suaminya berubah, sering pulang lewat dan mereka selalu bertengkar.
Dia kemudian mendapat tahu bahawa suaminya curang bersama wanita lain dan mereka akhirnya berpisah.
Walaupun tertekan akibat masalah perkahwinan, Andini bersyukur kerana mendapat sokongan orang ramai. Dia kini cuba meneruskan hidup demi bayinya. – Agensi