fbpx

Srettha Thavisin, taikun hartanah kini bergelar Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Srettha (tengah) disambut oleh sorakan para penyokongnya selepas Parlimen Thailand bersetuju memilih beliau sebagai Perdana Menteri di Bangkok kelmarin. - AFP

BANGKOK – Pelantikan Srettha Thavisin sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-30 menjadi titik perubahan signifikan bagi perjalanan kerjaya beliau daripada mengetuai mesyuarat korporat di bilik lembaga pengarah kepada memimpin sebuah negara dengan bergelumang dalam arena politik.

Sejurus diundi ke jawatan tersebut lewat kelmarin, Srettha berikrar untuk bekerja keras demi rakyat Thailand.

“Saya akan cuba yang terbaik serta bekerja keras bagi menambah baik kualiti kehidupan rakyat Thailand,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Parti Pheu Thai di Bangkok.

Setelah mengetuai salah satu syarikat pemaju hartanah terbesar negara itu, tokoh berusia 61 tahun tersebut ‘menukar uniform’ sut korporat kepada pakaian kasual ketika Parti Pheu Thai menamakan beliau sebagai salah satu daripada tiga calon Perdana Menteri.

Penghormatan yang diberikan kepada Srettha oleh komuniti perniagaan Thailand telah mencetuskan harapan agar beliau dapat memulihkan ekonomi negara yang lembab selepas sedekad berada di bawah kerajaan yang disokong tentera.

Graduan universiti di Amerika Syarikat itu menceburi bidang politik setelah membina kekayaan luar biasa selepas mengetuai syarikat Sansiri.

Susuk tubuhnya setinggi 1.9 meter itu sering dilihat ketika kempen pilihan raya umum Thailand Mei lalu meskipun popularitinya tidak sehebat calon daripada parti yang sama, Paetongtarn Shinawatra, yang merupakan anak perempuan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Namun, Srettha berjaya meraih sokongan daripada pengundi muda Thailand kerana membawakan mesej perubahan sektor pendidikan, hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ), perlindungan alam sekitar serta langkah-langkah untuk menangani isu ketidaksamaan.

Menurut seorang wartawan makanan dan pelancongan di Bangkok, Vincent Vichit-Vadakan, Srettha sering dikaitkan dengan pelbagai jenama popular golongan muda sekali gus mengukuhkan imejnya dalam kalangan kelompok berkenaan.

“Srettha boleh dikatakan sering bergaul dengan golongan belia yang hebat dan popular,” kata Vincent.

Sementara itu, seorang penganalisis politik, Thitinan Pongsudhirak memberitahu AFP bahawa penghijrahan Srettha ke kancah politik baru-baru ini mungkin sedikit menyukarkan tugasnya untuk melaksanakan dasar-dasar beliau kerana Parti Pheu Thai masih dilihat sebagai medium utama menjaga kepentingan keluarga Shinawatra.

“Beliau mempunyai kekurangan dari segi asas secara langsung dengan parti. Keadaan itu akan melemahkan kedudukannya. Beliau akan diuji sejak awal (dilantik),” kata Thitinan.

Tambah Thitinan, ‘jaringan ahli lama’ parti diasaskan keluarga Thaksin tersebut berkemungkinan mempunyai agenda tersendiri, dan kejayaan Srettha akan bergantung kepada sama ada beliau boleh mendapatkan sokongannya sendiri.

“Apa yang menarik adalah sejauh mana Srettha dapat membawa masuk ‘orangnya’ sendiri ke dalam parti tersebut,” jelasnya.

Pelantikan Srettha sebagai Perdana Menteri berlaku selepas Parlimen Thailand menyekat Pita Limjaroenrat daripada Parti Move Forward, daripada dilantik ke jawatan itu kerana tidak cukup 51 kerusi meskipun parti tersebut menang besar dalam pilihan raya.

Pita ketika berkempen pada Mei lalu berikrar untuk memperbaharui undang-undang berkaitan hak istimewa golongan diraja dan menangani monopoli perniagaan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan golongan elit konservatif Thailand.

Parti Pheu Thai kemudian membentuk gabungan baharu tanpa Parti Move Forward yang turut bersekutu dengan parti-parti disokong tentera.

Dalam pada itu, susulan pengumuman pelantikan Srettha, pasaran saham Thailand memberi respons positif dengan mencatatkan peningkatan hampir 20 mata pada sesi pembukaan dagangan semalam, manakala saham Sansiri turut melonjak hampir 7.5 peratus. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI