SEREMBAN – Lokasi pelancongan serta riadah, Taman Eko Rimba Jeram Toi di Jelebu dijangka akan dibuka semula untuk kunjungan orang ramai penghujung tahun ini.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, kerja-kerja pembaikan semula Jeram Toi kini sedang rancak dilaksanakan selepas lokasi itu musnah dalam kejadian hujan lebat berterusan dan banjir besar yang berlaku pada pertengahan bulan Disember 2021.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kini pada tahap 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan November nanti.
“Ia akan dibuka secara berfasa-fasa dan dijangka pada hujung tahun ia boleh dibuka untuk fasa pertama. Selepas pembaikan dan pembangunan semula tersebut, konsep Jeram Toi akan berubah sepenuhnya, tidak ada lagi pembinaan dalam Jeram Toi.
“Oleh itu tandas, pejabat dan surau akan berada di kawasan luar. Pembaikan ini akan menunjukkan keaslian dan keunikan sebenar Jeram Toi,” katanya hari ini.
Saleh juga memaklumkan, pengunjung di harap tidak terkejut dengan keadaan air sungai di kawasan itu yang masih lagi keruh selepas lokasi itu di buka kepada orang ramai.
“Masih ada banyak runtuhan di bahagian hulu iaitu di Gunung Berembun, setiap kali hujan, air keruh, saya bimbang orang ramai salah faham berlakunya kerosakan hutan, tetapi sebenarnya ia kerosakan semula jadi disebabkan bencana dan bukannya aktiviti tidak sihat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya akan membuka semula trek pendakian Gunung Berembun dan Gunung Telapak Buruk pada awal bulan September ini setelah ia juga ditutup sebelum ini ekoran bencana yang sama. – KOSMO! ONLINE