PETALING JAYA – Lebih sembilan tahun mendirikan rumah tangga, pelakon dan penyampai radio Siti Elizad kembali tidak dapat menahan sebak mengenangkan pelbagai usaha yang telah dilakukan demi mendapatkan zuriat.
Dalam linangan air mata, Elizad atau nama penuhnya Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 39, berkata, tidak semua orang dapat memahami dan mengetahui segala kepayahan yang dilalui sepanjang berikhtiar untuk mendapatkan anak selama ini.
“Orang tidak tahu betapa sukar dan mencabar (dapatkan zuriat). Kita pergi berubat untuk ikhtiar tapi mungkin belum ada rezeki.
“Jika diikutkan, tahun depan usia perkahwinan sudah hendak memasuki usia 10 tahun tetapi orang tidak tahu saya sudah pergi berubat, mungkin belum ada rezeki,” katanya sebak menerusi segmen Pagi Di Sinar semalam.
Dalam momen sedih tersebut, pelakon Berlari Ke Langit itu bagaimanapun turut bersyukur dikurniakan keluarga mentua yang tidak pernah memberi tekanan terhadapnya mengenai zuriat.
“Paling saya kagum ialah keluarga mentua dan bapa sendiri tidak pernah bertanya mengenai zuriat.
“Mereka tak pernah tanya bila saya nak memiliki zuriat sendiri sedangkan adik-beradik yang lain dikurniakan anak yang ramai tetapi saya seorang belum ada,” kongsinya.
Terdahulu, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) IVF pertama pada Februari 2020 sebelum disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.
Pada Mac 2022, dia memaklumkan kembali menjalani rawatan IVF kali kedua dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Elizad dan Shamsul Baharin Rahman mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015. – KOSMO! ONLINE