PUTRAJAYA – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih lagi kekal dan tidak dimansuhkan oleh kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, bagaimanapun, ada dua syor utama dilaksanakan dalam proses penambahbaikan akta itu.
“Mansuh memang tiada dalam pertimbangan kerajaan, tetapi kita akan lihat kepada usaha untuk menambah baik SOSMA dalam masa yang terdekat.
“Jadi, saya akan bawa beberapa syor ini kepada pihak Kabinet untuk pertimbangan penambahbaikan, namun tiada garis masa akhir yang ditetapkan bagi tujuan itu,” katanya di sini tadi.
Terdahulu, beliau merasmikan program berjalan santai Merdeka 2023 yang bersempena dengan sambutan kibar Jalur Gemilang bersama agensi-agensi portfolionya.
Sebelum ini, tempoh SOSMA diberikan lanjutan penguatkuasaan selama lima tahun lagi setelah subseksyen 5 di bawah Seksyen 4(11) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai 2022.
SOSMA menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang dimansuhkan Parlimen pada 17 April 2012 sebelum diberikan perkenan diraja dan pewartaan pada 22 Jun 2012. – KOSMO! ONLINE