fbpx

Ribuan penduduk berpindah, Taufan Vamco hampiri Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk terperangkap di atas bumbung rumah mereka selepas pasukan penyelamat tidak dapat sampai ke kawasan terjejas disebabkan arus deras. - AFP PHOTO/PHILIPPINE COAST GUARD

HANOI – Ribuan penduduk mengosongkan kediaman masing-masing hari ini apabila Taufan Vamco menghampiri wilayah tengah Vietnam yang sudah sedia musnah akibat ribut sebelum ini.

Lapangan terbang dan kawasan pantai telah diarah tutup manakala nelayan turut dilarang keluar menangkap ikan sebagai persediaan menghadapi taufan yang dijangka membadai wilayah Hue esok dengan membawa angin kencang berkelajuan 100 kilometer sejam.

Pihak berkuasa pengurusan bencana berkata, ribuan penduduk di empat daerah di tengah Vietnam telah dipindahkan, manakala media tempatan melaporkan ratusan ribu lagi bertindak menyelamatkan diri.

Sementara itu, pihak berkuasa Vietnam berkata, beberapa siri ribut kencang yang melanda tengah negara berkenaan dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini telah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh serta mengorbankan sekurang-kurangnya 159 orang sementara 70 lagi hilang.

Presiden Persatuan Palang Merah Vietnam, Nguyen Thi Xuan Thu berkata, cuaca buruk tersebut turut memusnahkan lebih 400,000 kediaman.

Tambah Nguyen, jalan raya serta jambatan turut dihanyutkan air selain tenaga elektrik terputus dan tanaman musnah mengakibatkan sekurang-kurangnya 150,000 penduduk menghadapi risiko kekurangan bekalan makanan.

“Keadaan amat sukar bagi lebih lapan juta penduduk yang tinggal di tengah Vietnam.

“Setiap kali ingin memulakan semula kehidupan, ribut kembali membadai kawasan kediaman mereka,” katanya.

Terdahulu, Taufan Vamco telah mengakibatkan kemusnahan teruk di Filipina hari ini.

Menurut agensi pengurusan bencana, pasukan tindakan kecemasan telah dikerahkan ke Timur Laut Filipina hari ini bagi membantu lebih 340,000 mangsa terjejas banjir susulan Taufan Vamco yang telah meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa di seluruh negara.

Sebanyak 20 kematian dilaporkan di wilayah Cagayan, Isabela dan Nueva Vizcaya yang menjadi tumpuan operasi menyelamat.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam daerah, ratusan mangsa terperangkap di bumbung rumah di kawasan paling teruk terjejas sepanjang Sungai Cagayan berikutan pasukan penyelamat tidak dapat memasuki lokasi terbabit akibat arus deras. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI