GEORGE TOWN – Tular kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Kedah FC dan ‘casual’ Penang selepas berakhirnya perlawanan ke-20 Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Insiden pergaduhan yang dirakam orang awam itu berlaku di luar pekarangan stadium sejurus perlawanan tamat, kira-kira pukul 11 malam.
Satu video yang berdurasi satu minit 42 saat itu memaparkan provokasi di antara kedua-dua kumpulan penyokong sebelum berakhir dengan pergaduhan.
Terdahulu, pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menjinakkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung penuh hangat.
Difahamkan, insiden tercetus rentetan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.
Keputusan pengadil terbabit dikatakan turut mencetuskan ketegangan penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.
Pada 1 April lalu, Kosmo! Online melaporkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan ‘casual’ Penang selepas berakhir perlawanan keenam Liga Super di Stadium Bandaraya.
Dalam kejadian itu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE