PUTRAJAYA- Sudah sampai masanya buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan penuh kepada usaha memulih dan merancakkan ekonomi negara ketika ini.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Marzuki Mohamad berkata, pertumbuhan ekonomi yang menyusut kepada 2.9 peratus adalah petanda ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya.
Jelasnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) perlu rancak mengadakan pertemuan secara kerap setiap minggu yang dilihat sebagai platform penting dalam membuat keputusan utama mengenai ekonomi negara.
“Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri dan keanggotaanya termasuklah menteri-menteri berkaitan ekonomi, Gabenor Bank Negara dan wakil-wakil industri bermesyuarat setiap minggu.
“Di sinilah indikator utama ekonomi dipantau dan keputusan penting mengenai hala tuju ekonomi negara dibuat dan diambil tindakan segera oleh kerajaan,” katanya tadi.
Marzuki berkata, menerusi langkah itu, apa sahaja permasalahan dapat diatasi dengan segera dan kerajaan dengan sokongan pihak industri bertindak sebagai pemudah cara pemulihan ekonomi.
“Kerajaan perlu menyediakan satu peta arah tuju yang jelas bagaimana negara kita dapat keluar daripada kelembapan ekonomi dan masalah kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE