PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 329 kes Pertussis atau batuk kokol dengan 23 kematian di seluruh negara sejak Januari hingga 19 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagaimanapun angka itu adalah 52.8 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun 2019 dengan 697 kes direkodkan.
Katanya, daripada 329 kes itu, sebanyak 219 kes (66.6 peratus) adalah terdiri daripada warganegara manakala 110 kes lagi merupakan bukan warganegara.
“Bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 189 kes, manakala kanak-kanak berumur di antara satu tahun hingga hingga 10 tahun mencatatkan sebanyak 94 kes dan selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas.
“Pecahan mengikut negeri, Sabah merekodkan kes tertinggi iaitu 181 kes, diikuti Selangor (51), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15) , Pahang dan Perak masing-masing (13), Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing (12) dan Johor (sembilan).
“Selain itu Sarawak merekodkan lapan kes, Kelantan (tujuh), Kedah dan Terengganu masing-masing (tiga), serta Pulau Pinang dan Labuan masing-masing (satu), manakala Perlis tiada kes diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Radzi berkata, tiada kes baharu dikesan di sekitar kawasan tempat tinggal dalam kejadian di daerah Rompin, Pahang baru-baru ini yang melibatkan tiga kes dari sebuah keluarga disahkan mengalami penyakit itu.
Jelasnya, kesemua kes melibatkan dua orang anak dan ibu mereka itu telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, biarpun keadaan itu terkawal, pihaknya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan pertussis terus terkawal dan tidak menjadi masalah kesihatan utama di negara ini.
“Keutamaan KKM adalah memastikan liputan imunisasi pertussis dalam kalangan kanak-kanak di negara ini kekal melebihi 95 peratus untuk memastikan golongan ini dilindungi daripada mendapat jangkitan.
“Kanak-kanak terutama bayi adalah kumpulan yang rentan kepada jangkitan pertussis. Sehubungan dengan itu, ibu bapa digesa untuk memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE