TELUK BAHANG – Dua beranak yang dilaporkan tersesat ketika mendaki di Taman Negara Pulau Pinang di sini pagi tadi ditemui selamat di Pantai Acheh, Balik Pulau selepas tiga jam operasi menyelamat dijalankan.
Wanita warga Rusia berusia 38 tahun bersama anak lelakinya berumur 13 tahun ditemui pasukan bomba pada pukul 12.27 tengah hari tadi.
Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu kakitangan Taman Negara Pulau Pinang dan pasukan polis.
Jurucakap bomba negeri berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa bersama anak lelakinya dijumpai dalam keadaan selamat di Pantai Acheh, Balik Pulau dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sebelum itu, mangsa tidak dapat dihubungi kerana masalah rangkaian di lokasi,” katanya operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3.25 petang tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua pelancong warga Rusia dilaporkan sesat di Taman Negara Teluk Bahang, kira-kira pukul 9.29 pagi tadi.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang bersama kakitangan Taman Negara Pulau Pinang dan polis. – KOSMO! ONLINE