KUALA LUMPUR – Seramai 225 pemain tenis dalam dan luar negara bakal menggegar kejohanan sukan tenis Terbuka Kuala Lumpur (KL OPEN 2023) dengan melibatkan hadiah keseluruhan bernilai RM72,000.
Kejohanan yang berlangsung di Pusat Tenis Negara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Gelanggang Tenis Kompleks Sukan Titiwangsa pada 29 Ogos hingga 3 September ini turut melibatkan penyertaan dari negara seperti China, Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura dan India .
Pengarah kejohanan KL OPEN 2023, Muhammad Najib Ibrahim berkata, kejohanan tenis berprestij itu akan melibatkan 10 kategori yang dipertandingkan dan acara tumpuan melibatkan perseorangan lelaki terbuka dan wanita terbuka.
“KL Open 2023 telah menerima sebanyak 225 penyertaan pemain dan merupakan sambutan yang menggalakkan dari penggiat tenis bukan sahaja di Malaysia, malah dari luar negara seperti Indonesia.
“Acara perseorangan lelaki terbuka kekal sebagai acara kegemaran sejak dari 20 tahun lepas, di mana pihak KL Open 2023 telah menerima lebih dari 140 penyertaan dan merupakan penyertaan terbesar bagi kategori ini.
“Juara bagi acara perseorangan lelaki terbuka akan menerima RM8,000 dan bagi acara perseorang wanita terbuka bakal menerima RM5,000,” katanya pada sesi sidang media di sini semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Najib yakin biarpun kejohanan tersebut menerima penyertaan dari luar, namun pihaknya yakin pemain negara seperti juara bertahan musim lalu Koay Hao Sheng dan pemain berbakat negara, Darrshan Suresh Kumar mampu melakukan kejutan.
“Juara bertahan KL OPEN 2022 iaitu Hao Sheng dari Malaysia turut menempah penyertaan di kejohanan kali ini. Anak jati Perlis ini ingin mengekalkan momentum kemenangan dari KL OPEN 2022.
“Ketika ini, Hao Sheng telah menjuarai beberapa kejohanan kebangsaan dan antarabangsa sekali gus dianggap pemain ‘pilihan’ pada edisi kali ini. Selain itu, Darrshan juga mampu melakukan kejutan selepas melangkah separuh akhir edisi musim lalu,” tambahnya.
Pada KL Open 2023, kejohanan tersebut turut mempertandingkan beregu terbuka lelaki dan wanita, acara masters perseorangan dan beregu lelaki bagi kategori 35 tahun ke atas, 45 tahun ke atas dan veteran 55 tahun ke atas.