JAKARTA – Seorang lelaki warga Jepun meninggal dunia selepas terjatuh daripada sebuah pelampung ketika bercuti bersama keluarganya di Pantai Tanjung Benoa, Bali, lapor portal Coconut.co.
Kikuchi Satoshi, 60, terjatuh ketika melakukan aktiviti sukan air itu pada Jumaat lalu.
Jurucakap Polis Bali, Jansen Avitus Panjaitan berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) di hadapan pantai Hotel Grand Mirage.
Satoshi ketika kejadian, sedang bermain di kawasan pantai bersama isteri dan tiga anaknya.
Sesi pertama berjalan lancar dengan seorang pemandu bot bernama Zaini dan seorang tenaga pengajar bernama Wahyu memastikan keselamatan mereka.
Bagaimanapun ketika sesi kedua, kejadian tidak dijangka berlaku ketika Satoshi dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun, Kikuchi Haruki menaiki pelampung tersebut.
Ketika terbang sejauh 40 meter dari pantai, pelampung itu tiba-tiba bergoyang dan senget ke kanan. Wahyu terjatuh, diikuti oleh Satoshi dan Haruki selepas mereka hilang cengkaman.
Satoshi dikejarkan Hospital Surya Husada untuk mendapatkan rawatan namun gagal diselamatkan. – Agensi