fbpx

3,000 banduan peroleh sijil kemahiran dalam tempoh 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL (dua kanan) menyantuni banduan pada Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang.

MELAKA – Seramai 3,000 banduan akan dilatih dan ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, peruntukan sebanyak RM1.57 juta disediakan untuk pelaksanaan latihan kemahiran di 17 penjara terlibat, tahun ini.

Jelasnya, program berkenaan bertujuan untuk membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kira-kira 6,000 pekerja asing daripada keseluruhan 27,000 pekerja dalam sektor pembersihan awam.

Kata beliau, inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Penjara itu dapat membantu meningkatkan proses pembinaan kendiri, di samping membina kehidupan baharu kepada bekas banduan.

“Kita sedang merancang untuk memperluaskan kerjasama ini dengan Sekolah Henry Gurney (SHG) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Program ini ada beberapa tahap iaitu tahap dua sebagai pekerja am, tahap tiga untuk menjadi penyelia dan tahap empat untuk peringkat pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi di Penjara Sungai Udang di sini, hari ini.

Tambahnya, buat masa ini seramai 280 orang banduan di 17 penjara di Semenanjung telah terpilih untuk menyertai program itu selama lapan bulan dengan elaun sebanyak RM500 sebulan.

“Perantis didedahkan latihan secara teori dan amali berkaitan skop cara kerja, pengendalian peralatan dan pematuhan keselamatan mengikut standard enam aktiviti utama yang ditetapkan.

“Mengenai pemilihan banduan, perantis dipilih dalam kalangan banduan yang menjalani hukuman kurang dari lima tahun dengan umur yang masih produktif iaitu 40 tahun ke bawah,” ujarnya.

Katanya lagi, bagi setiap 100 orang yang dibebaskan secara terus, seramai 18 orang akan masuk semula ke penjara dalam tempoh tiga tahun kerana tidak mempunyai tujuan hidup dan akhirnya kembali kepada koloni lama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI